Harian Metro - Portal Pendidikan Maya Percuma


Portal Pendidikan Maya Percuma


PENYEDIA produk pendidikan berasaskan teknologi maklumat (IT), Gnowledge Sdn Bhd memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf laman web www.gnowledge.com dalam usaha memperkenalkan portal pendidikan maya percuma di negara ini.

Pengurus Kanan Pemasarannya, Rahizad Rahmat berkata, pelaburan itu digunakan bagi dua fasa iaitu pembinaan infrastruktur serta penggunaan ciri-ciri perisian lebih maju bagi tempoh dua tahun.

“Pelaburan fasa pertama RM5 juta bagi pembinaan infrastruktur, reka bentuk, ciri-ciri perisian dan pelayan untuk laman web Gnowledge.com. Sebahagian RM5 juta lagi diperuntukkan untuk memindahkan laman web itu daripada menggunakan pelayan kepada penggunaan Windows Azure untuk menampung tahap penggunaan yang tinggi dan untuk membina ciri-ciri perisian yang lebih maju,” katanya.

Rahizad berkata, Gnowledge.com membolehkan setiap pengguna mencipta, mengolah dan berkongsi kertas soalan peperiksaan dan maklumat selain menduduki ujian dan latihan secara percuma.

“Portal ini disediakan percuma untuk guru, pelajar dan ibu bapa di Malaysia selepas berjaya dilaksanakan di Singapura. Kelebihannya, semua sekolah di seluruh negara berpeluang memperoleh pelbagai peluang dan manfaat percuma melalui laman web kami.

“Agak memeranjatkan kami kerana sejak dilancarkan, pengguna berdaftar di laman web kami kebanyakan guru dari luar negara menjadikan portal ini sebagai medium pembelajaran untuk anak murid mereka. Salah seorang pengguna kerap portal ini berasal dari Mexico yang mengendalikan hampir 1,500 set daripada 53 kertas soalan yang dicipta untuk kegunaan muridnya. Justeru, kami mengambil inisiatif ini untuk memperluaskan lagi kepenggunaannya di alaysia,” jelasnya.

Menurut Rahizad, laman webnya adalah portal penilaian ujian percuma yang pertama di Malaysia dan kesemua ujian yang terdapat di Gnowledge.com dikategorikan mengikut tajuk, subjek, gred, sekolah dan negara. “Gnowledge.com akan menyemak keputusan ujian secara automatik dan menyimpan semua rekod keputusan ujian untuk rujukan masa depan. Pelawat hanya perlu mendaftar sebagai pengguna untuk menggunakannya.

“Buat masa ini terdapat lebih 32,000 pelawat melayari portal Gnowledge.com dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Mexico, Jepun, Ireland, Itali dan Australia,” katanya.

Pautan ke Harian Metro online

Pautan ke siaran akhbar Paper Clip